Wednesday, 17 October 2012

Dalam kamar ini

Dalam kamar ini, aku merasakan kesepian. Suasana suram dan kelam menambah keserabutan. Nota-nota dan fail berserakan di atas meja belajar. Kes-kes berlonggok entah bila mahu dibaca. Semangatku untuk menulis pudar. Entah berapa lama baru dua tiga ayat kutaip lalu kupadam. Jiwaku bukan lagi seni. Ditiup angin kepasrahan dan ketidaktentuan. Hari-hariku berlalu tidak lagi membawa kegembiraan. Sukar. Itu sahaja ungkapanku. Atau tidak menarik. Benar, aku mengambil jurusan ini kerana satu cita-cita yang sangat besar.  Untuk mengkaji undang-undang yang lahir dari sistem manusia yang sekular ini lalu menggantikan ia dengan keindahan hukum Islam. Namun bukan semudah yang diungkapkan.

 Aku seperti anak-anak kecil yang bermimpi. Tidak berpijak di bumi realiti. Aku tidak petah berhujah. Aku tidak pandai mendebatkan permasalahan logik dan mantik. Lalu aku membiarkannya begitu. Tidak mengambil inisiatif untuk belajar daripada orang lain. Sampai bila harus aku menjadi pasif? Aku hanya mampu menyandarkan harapan dan ratapan airmata padaNya. Memohon dipermudahkan segala. Aku berhadapan dengan pensyarah-pensyarah yang menggerunkan, bahan bacaan yang tidak pernah luak untuk dihabiskan, assignment-assignment yang setia untuk dihantar dan diberi lagi, kelas tutor dimana berhempas-pulas menjawab persoalan-persoalan pensyarah, ujian(test) seumpama peperiksaan akhir semester. Ditambah pula, program yang telah terqadha’ sekian lama.

Aku benar-benar tersiksa. Beginiah perjuangan. Perjuangan belajar di menara gading di negeri sendiri. Hujan emas di negara orang, hujan batu di negeri sendiri. Seringkali disisihkan dan terbiar. Pelajar ‘oversea’ mendapat perhatian dan belanja yang sangat lumayan.  Sanak-saudara bertanyakan itu ini. Lalu aku terbiar mencari pedoman. Perlu pada keikhlasan niat. Why do you take law? Jawapan aku. Aku tak redha dengan hukum manusia. Aku ingin hukum Dia ditegakkan melalui keadilan dan ketulusan, untuk kebaikan manusia sejagat.

No comments :

Post a Comment

Lontarkanlah pendapat,insha allah boleh diterima dgn hati terbuka,Onegaishimasu! :)