![]() |
| Two roads diverged. Left or Right. Or chose to stay forever. |
Aku membawa hatiku yang rawan ini jauh-jauh. Kenapakah aku sungguh berbeza dengan kalian. Semenjak aku berhijrah ke negeri salju, mempelajari hakikat ilmu dan dunia, memahami percaturan alam dan fitrah, aku bukan lagi aku yang dulu. Kalau dilihat dari zahirnya tentunya saja aku masih diri yang sama. Tidak bertambah kacak atau meninggi. Masih gagap dan sepi dalam berbicara. Namun, aku lebih mengerti bahawa dunia ini bukan segalanya. Meskipun kita mengimpikan khalifah itu tertegak di depan mata kepala kita, jangan kau sanggup mengorban maruah dan prinsip agama. Yang tulus haq itu tulus. Yang batil itu mungkar dan selamanya mungkar. Adakah demi kuasa kita sanggup mencari kelemahan orang lain demi mengangkat kehebatan diri? Segala macam prinsip dan dalil kita selongkar bagi meraih kepercayaan golongan marhaen dan borjuis. Bagi kalian, aku ini sudah berubah. Tidak lagi mendokong dan menyokong perjuangan ini. Ya, sebenarnya aku makin keliru. Bertambah celaru. Mencari arah di persimpangan jalan.
Dahulunya ketika di bangku sekolah, aku sangat mengagumi Hasan Al-Banna. Kuselak Majmu' Ar-Rasail, membaca ucapan-ucapannya seperti Risalah Kepada Pemuda dan Antara Hari Ini dan Esok. Keikhlasan itu terpamer di setiap fasa dan frasa perkataannya. Adakah dia mengimpikan Khilafah langsung saat hidupnya? Kemenangan itu hanyalah milik Dia. Manusia hanya mampu berusaha kerana qadha' dan qadhar telah ditentukan oleh Tuan kita. Meskipun tulisanku ini hanya berupa kata-kata sahaja, inilah yang mampu aku garapkan sedikit sebanyak kekusutan sekembalinyaku di tanah air tercinta ini. Aku lihat Imam Syahid itu dalam fotonya sering tersenyum. Di dalam mathurat mahupun buku-bukunya ataupun buku yang dikomentar berdasarkan ucapan-ucapannya. Aku tak mampu menjadi seperti Imam Syahid. Senyumannya bsa menggerakkan kecintaan pada perjuangan, pada ikhlas dan tulusnya membawa panji Islam. Kerana dia yakin, itulah resepi yang paling terhebat dalam da'wah Rasulullah s.a.w. Sederhana dan moderat, sabar dalam menghadapi ujian berat tatkala dilontar batu-batu kerikil di jalan Thaif. Tidak membalas cacian mahupun herdikan sebaiknya dia mendoakan agar mereka yang Zalim itu mendapat hidayah kerana mereka tidak tahu. Tahu bahawa Islam itu indah, kerana hati mereka belum bersedia menerima sentuhan dan ajakan Rasulullah s.a.w.
Dakwah Nabi sangat asing ketika Jahiliyyah itu bermaharajalela. Sekian lama para rasul dan nabi tidak diutus ke atas umat dunia. Manusia beranggapan bahawa Tuhan itu telah meninggalkan mereka untuk hidup berdikari. Mereka takut dan menjadi marah bila hak dan kepentingannya diganggu-gugat sekian lama. Namun tugas para anbiya' bertujuan menenangkan manusia, memberi tunjuk ajar dan sabar menerima kutukan dan cacian. Nah itulah tugas kita ini. Berdiri di tengah-tengah masyarakat, memberikan solusi dan memberikan panduan. Kebanyakan para nabi dan rasul diminta menegakkan syariat Tuhan di muka bumi. Cuba kaukira berapa sangatkah kejayaan mereka dalam membina kerajaan? Namun Allah ingin menguji para kekasihnya para anbiya dalam menjalankan tugas mereka apatah lagi kita yang mengakui para duat dan penyeru pada agama?
Namun aku ini terus bingung. Adakah tegar untukku memilih salah satu daripada jalan di persimpangan ini, atau kuharus tunggu hingga Allah menunjukkan jalan yang bisa aku yakini dan tetapkan qalbi ianya adalah jalan kebenaran?
Aku yang serba dhaif dan khilaf, hanya mampu menulis di sini. Biarpun murka Allah padaku kerana mungkin aku tidak berbuat apa-apa.
Aku harus berusaha dalam berikhtiar.
Dalam memilih jalan yang terbaik untukku.
Coretan hati
11.19 pm
Gombak
