Tuesday, 23 October 2012

Aku di persimpangan

Two roads diverged. Left or Right. Or chose to stay forever.

Aku membawa hatiku yang rawan ini jauh-jauh. Kenapakah aku sungguh berbeza dengan kalian. Semenjak aku berhijrah ke negeri salju, mempelajari hakikat ilmu dan dunia, memahami percaturan alam dan fitrah, aku bukan lagi aku yang dulu. Kalau dilihat dari zahirnya tentunya saja aku masih diri yang sama. Tidak bertambah kacak atau meninggi. Masih gagap dan sepi dalam berbicara. Namun, aku lebih mengerti bahawa dunia ini bukan segalanya. Meskipun kita mengimpikan khalifah itu tertegak di depan mata kepala kita, jangan kau sanggup mengorban maruah dan prinsip agama. Yang tulus haq itu tulus. Yang batil itu mungkar dan selamanya mungkar. Adakah demi kuasa kita sanggup mencari kelemahan orang lain demi mengangkat kehebatan diri? Segala macam prinsip dan dalil kita selongkar bagi meraih kepercayaan golongan marhaen dan borjuis. Bagi kalian, aku ini sudah berubah. Tidak lagi mendokong dan menyokong perjuangan ini. Ya, sebenarnya aku makin keliru. Bertambah celaru. Mencari arah di persimpangan jalan.

Dahulunya ketika di bangku sekolah, aku sangat mengagumi Hasan Al-Banna. Kuselak Majmu' Ar-Rasail, membaca ucapan-ucapannya seperti Risalah Kepada Pemuda dan Antara Hari Ini dan Esok. Keikhlasan itu terpamer di setiap fasa dan frasa perkataannya. Adakah dia mengimpikan Khilafah langsung saat hidupnya? Kemenangan itu hanyalah milik Dia. Manusia hanya mampu berusaha kerana qadha' dan qadhar telah ditentukan oleh Tuan kita. Meskipun tulisanku ini hanya berupa kata-kata sahaja, inilah yang mampu aku garapkan sedikit sebanyak kekusutan sekembalinyaku di tanah air tercinta ini. Aku lihat Imam Syahid itu dalam fotonya sering tersenyum. Di dalam mathurat mahupun buku-bukunya ataupun buku yang dikomentar berdasarkan ucapan-ucapannya. Aku tak mampu menjadi seperti Imam Syahid. Senyumannya bsa menggerakkan kecintaan pada perjuangan, pada ikhlas dan tulusnya membawa panji Islam. Kerana dia yakin, itulah resepi yang paling terhebat dalam da'wah Rasulullah s.a.w. Sederhana dan moderat, sabar dalam menghadapi ujian berat tatkala dilontar batu-batu kerikil di jalan Thaif. Tidak membalas cacian mahupun herdikan sebaiknya dia mendoakan agar mereka yang Zalim itu mendapat hidayah kerana mereka tidak tahu. Tahu bahawa Islam itu indah, kerana hati mereka belum bersedia menerima sentuhan dan ajakan Rasulullah s.a.w.

Dakwah Nabi sangat asing ketika Jahiliyyah itu bermaharajalela. Sekian lama para rasul dan nabi tidak diutus ke atas umat dunia. Manusia beranggapan bahawa Tuhan itu telah meninggalkan mereka untuk hidup berdikari. Mereka takut dan menjadi marah bila hak dan kepentingannya diganggu-gugat sekian lama. Namun tugas para anbiya' bertujuan menenangkan manusia, memberi tunjuk ajar dan sabar menerima kutukan dan cacian. Nah itulah tugas kita ini. Berdiri di tengah-tengah masyarakat, memberikan solusi dan memberikan panduan. Kebanyakan para nabi dan rasul diminta menegakkan syariat Tuhan di muka bumi. Cuba kaukira berapa sangatkah kejayaan mereka dalam membina kerajaan? Namun Allah ingin menguji para kekasihnya para anbiya dalam menjalankan tugas mereka apatah lagi kita yang mengakui para duat dan penyeru pada agama?

Namun aku ini terus bingung. Adakah tegar untukku memilih salah satu daripada jalan di persimpangan ini, atau kuharus tunggu hingga Allah menunjukkan jalan yang bisa aku yakini dan tetapkan qalbi ianya adalah jalan kebenaran?

Aku yang serba dhaif dan khilaf, hanya mampu menulis di sini. Biarpun murka Allah padaku kerana mungkin aku tidak berbuat apa-apa.
Aku harus berusaha dalam berikhtiar.
Dalam memilih jalan yang terbaik untukku.

Coretan hati
11.19 pm
Gombak

Wednesday, 17 October 2012

Dalam kamar ini

Dalam kamar ini, aku merasakan kesepian. Suasana suram dan kelam menambah keserabutan. Nota-nota dan fail berserakan di atas meja belajar. Kes-kes berlonggok entah bila mahu dibaca. Semangatku untuk menulis pudar. Entah berapa lama baru dua tiga ayat kutaip lalu kupadam. Jiwaku bukan lagi seni. Ditiup angin kepasrahan dan ketidaktentuan. Hari-hariku berlalu tidak lagi membawa kegembiraan. Sukar. Itu sahaja ungkapanku. Atau tidak menarik. Benar, aku mengambil jurusan ini kerana satu cita-cita yang sangat besar.  Untuk mengkaji undang-undang yang lahir dari sistem manusia yang sekular ini lalu menggantikan ia dengan keindahan hukum Islam. Namun bukan semudah yang diungkapkan.

 Aku seperti anak-anak kecil yang bermimpi. Tidak berpijak di bumi realiti. Aku tidak petah berhujah. Aku tidak pandai mendebatkan permasalahan logik dan mantik. Lalu aku membiarkannya begitu. Tidak mengambil inisiatif untuk belajar daripada orang lain. Sampai bila harus aku menjadi pasif? Aku hanya mampu menyandarkan harapan dan ratapan airmata padaNya. Memohon dipermudahkan segala. Aku berhadapan dengan pensyarah-pensyarah yang menggerunkan, bahan bacaan yang tidak pernah luak untuk dihabiskan, assignment-assignment yang setia untuk dihantar dan diberi lagi, kelas tutor dimana berhempas-pulas menjawab persoalan-persoalan pensyarah, ujian(test) seumpama peperiksaan akhir semester. Ditambah pula, program yang telah terqadha’ sekian lama.

Aku benar-benar tersiksa. Beginiah perjuangan. Perjuangan belajar di menara gading di negeri sendiri. Hujan emas di negara orang, hujan batu di negeri sendiri. Seringkali disisihkan dan terbiar. Pelajar ‘oversea’ mendapat perhatian dan belanja yang sangat lumayan.  Sanak-saudara bertanyakan itu ini. Lalu aku terbiar mencari pedoman. Perlu pada keikhlasan niat. Why do you take law? Jawapan aku. Aku tak redha dengan hukum manusia. Aku ingin hukum Dia ditegakkan melalui keadilan dan ketulusan, untuk kebaikan manusia sejagat.

Friday, 6 July 2012

Aniki 兄貴 [Part 2]

[Sekadar gimik]

Yosh!
 
Akhirnya walidain akan pulang ke tanah air esok, sungguh 7-8 hari yang berlalu ini terasa sungguh ibrahnya melalui pengalaman dan pemerhatianku sepanjang detik-detik yang berharga ini. Semakin rapat dengan adik-adik, prihatin dengan keadaan rumah, rasa bertanggungjawab, rajin memasak [sebelum ni malas?] dan lain-lain. Tapi bila anda menjadi along rumah, masa dengan kawan dan aktiviti kampus anda terhad,itu terpaksa anda korbankan. Mujur short semester, jadi tak mengapalah kalau saya tak tunjuk muka [gome, Nara minna kata saya pemalas pun sukahatilah].

So desu ka?
 
Pagi hari kubangun awal pagi
memikirkan menu sarapan pagi
sambil menghidupkan enjin kereta
menunggu adik-adik menyiapkan diri
kuhulur RM 5 buat belanja
kubacakan doa aminkan sahaja
rasa janggal pun ada buat dek sahaja

hei, ingat sampah harus dibuang!
tapi kadang-kadang lori sampah tak datang-datang
siram pokok bunga jangan dilupa
angkat baju di mesin basuh
menyidai dengan penuh gigih
menyapu terus halaman depan
daun-daun kering dan debu-debu
habis dinyahkan daripada pandangan
Jumaat tiba, mop diambil
habis dikerjakan satu rumah
aroma segar dan bersih
jiwa gembira hatipun senang

sesekali lihat di sinki
alatan memasak perlu dicuci
pinggan mangkuk sudah guna basuhlah sendiri
Malam tiba menu apa pula
saya ikut saja arahan chef adik perempuan
bab pakar rasa biar saya yang jaga

Adik,dah solat belum?
masih menghadap komputer,
buat muka seposen
alamatnya buruk bila darah sudah naik
sabar, senang cerita tutuplah modem
bila dia mengamuk pujuklah balik

Entah gurindamkah?syiirkah?pantunkah? (rekaan sendiri) sebelum ni di rumah tidak pernah terfikir banyak betul kerja rumah. Pekerjaan surirumah tidak harus dipandang enteng. Bayangkan si ayah balik ke rumah, trafik sesak daripada tempat kerja sampai rumah. Lihat rumah bersepah, mana tak mahu naik angin. Si ibu juga sama kalau melihat baju bersepah merata-rata. Jadikan rumah bersih sentiasa, bantu-membantu menjadikan rumah anda bersih dan selesa. Bukankah kebersihan itu sebahagian daripada iman. النظافه من الإيمان

Sebagai aniki, kita perlu sesekali mendengar keluhan ataupun aduan daripada adik-adik. Kadang-kadang masalah itu tidak diceritakan pada walidain. Fahami mereka,jadikan mereka kawan,sahabat dan teman bercerita. Mungkin jika sebelum ini anda semua tak pernah buat,awal-awal mungkin kekok, tetapi insya-allah tak ada masalah. Jikalau adik-adik mulai hormat pada antum,barulah senang nasihat kita untuk diterima oleh mereka.

Paling penting jadilah qudwah kepada mereka. Kata abang, marah itu marah ni, tapi solat pun al-qadha' suka hati, almari baju bersepah, akhlak pun tak jaga,cakap tak serupa bikin alamatnya sampai bila mahu diikutkan nasihat atau pekikan ataupun lolongan anda itu kepada mereka.

Sekian nasihat yang tak seberapa daripada saya yang dhaif baru-nak-belajar-jadi-abang-mithali.

Gambatte Ikkemashoi! :)
Ja ne
!

Friday, 29 June 2012

Aniki 兄貴

Ralat sungguh,
sudah usang,ditulis sedikit,lalu kembali semula melupakan blog ini. Mungkin cinta ini sudah kabur,tidak bernyawa, hatinya sudah sakit, keghairahan untuk menulis sudah hilang ditelan angan-angan semalam lalu dibiarkan sepi. Maafkan hati saya, dia itu cepat mudah terusik dek pelbagai peristiwa atau tragedi atau masalah yang dirasakan menyakitkan jiwanya. Lalu kesekian kalinya, semangatnya makin pudar untuk menulis. Namun inspirasi itu hadir semula,memberikan keceriaan kepada hatinya.

Aniki 兄貴

Eh? Apa maksud Aniki? Maafkanlah hati saya ini,tiba-tiba semangat mahu belajar bahasa nippon-go gara-gara drama Jepang yang disodorkan oleh kawan saya baru-baru ini. Aniki bermaksud abang atau dalam bahasa Inggerisnya 'older brother'.

Biasanya bila anda menjadi abang dan anak yang kedua di dalam keluarga (bukan kakak), tentunya anda/keluarga akan bergantung harap pada aniki yang pertama. Maka senang-lenanglah hati :) . Boleh buat hal sendiri,tak perlu fikir masalah adik-adik bukan begitu? Pelbagai pandangan psikologi tentang anak kedua di dalam keluarga apatah lagi seorang abang. Biasanya perwatakannya sukar diteka atau memberontak ataupun jenis pendiam. Anda boleh bertanyakan hal ini pada pak google.

...
Sejak wa aniki melanjutkan pelajaran ke luar negara. Entah mengapa rasa bertanggungjawab itu menjelma. Apatah lagi menara gading tempat belajar saya itu dekat sekali dengan rumah (dasar manja,tak aci barangkali itu kata orang). Rasa itu bertambah-tambah lagi apabila waktu short semester ini saya tinggal di rumah sahaja memandangkan kelas 4 jam seminggu,sugoi! :D.

Yosh! Tugas sebenar sudah bermula. Saya akan menjadi Aniki yang sebaik mungkin, kejut mereka pagi-pagi menyedikan menu yang lazat-lazat (bolehkah?), hantar adik-adik ke sekolah dan 'pick-up' mereka, basuh dan melipat baju, menjaga rumah, dan yang lebih penting menjaga kebajikan mereka. Sebelum ini saya tak pernah mengambil berat hal mereka, aduhai sedar-sedar sudah besar panjang adik-adik saya ni.

Harapnya saya dapat menggembirakan mereka dan menolong adik-adik saya ini sebaik mungkin. Kerana tugas ini adalah amanah dari ibu ayah untuk menjaga adik-adik. Saya ingin mendapat redha Allah kerana redha Allah itu hadir bersama redha ibu ayah.

Kepada semua abang dan kakak di dunia ini.
Ganbatte minna! :)
Good luck! :)

 Ima koko ni
Kaerimi sureba
Waga nasake
Yami o osorenu
Meshii ni nitari
 

Now and then
I look back on my passion
In the past.
I was like the blind one
Who fears no darkness.

Thursday, 1 March 2012

Titipan Rindu

Rindu itu menjengah,
di malam yang pekat
angin mendesir-desir
memikul hati yang sarat
lalu kubercerita pada Allah
di tengah solat tahajjud yang berkat
dalam esak tangis zikir dan taubat

Dia Maha Mengetahui
hijab dan rahsia di sudut hati
badai jiwa yang melanda
mengluluhkan seluruh raga penghidupan

Malam ini,
kutitipkan rindu pada kudusnya munajat
Ya Allah,
rindu ini tiada tertahan
jadikanlah ia mujahadah
pertempuran antara
amarah nafsu dan kentalnya iman

Malam yang masih tersisa
Dia telah mengajarku
pentingnya hikmah
tentang sucinya ikhlas
dan benarnya sabar

9.21 PM
Mahallah Uthman, IIUM